Melahirkan golongan minat membaca, mencari ilmu

SELAMAT datang 2017. Apakah yang bakal mewarnai tahun baharu ini? Mungkinkah tahun pilihan raya umum? Apa yang pasti, negara akan menjadi tuan rumah Sukan SEA ke-29 dan kemerdekaan Malaysia bakal mencecah usia 60 tahun. Diharapkan suasana tahun ini lebih baik. Perbaikilah kelemahan yang berlaku sepanjang 2016 supaya tidak berulang. Semoga isu seperti banjir kilat, masalah bekalan air, pencemaran, kos sara hidup, pengangkutan awam, jenayah kekerasan, nahas bas ekspres dan sebagainya dapat diatasi. Apa yang penting pelaksanaan dan penguatkuasaan, bukan sekadar melontar kritikan, kemudian mencadangkan itu dan ini tanpa tindakan. Hari ini Isnin, hari kedua 2017, minggu pertama bulan Januari. Inilah minggu anak-anak kembali semula ke sekolah.

Mengambil ‘mood’ bermulanya penggal persekolahan, diharapkan anak-anak kita mempunyai semangat tinggi untuk belajar. Begitu juga yang naik kelas atau tingkatan. Belajarlah rajin-rajin termasuk rajin membaca. Dalam era teknologi maklumat hari ini, minat membaca semakin berkurangan. Generasi hari ini lebih suka ‘membaca’ melalui gajet di tangan, bukan lagi buku, surat khabar atau majalah. Diharapkan, mereka tidak jemu membaca buku-buku pelajaran yang diperuntukkan secara percuma. Walaupun gajet termasuk komputer, iPad dapat membantu memudahkan pembelajaran, kesilapannya apabila ia tidak digunakan dengan sebaik mungkin. Kadang-kadang boleh melalaikan.

Tidak keterlaluan juga jika minat membaca melalui gajet akan turut merosot. Mungkin selepas ini, hanya dengar orang bercerita/ bercakap. Tidak ada usaha untuk menyelidik apa yang dibaca atau dimaklumkan oleh pihak lain. Lihatlah WhatsApp. Apa sahaja maklumat yang masuk akan disebarkan kepada orang lain dengan kadar segera tanpa diselidiki terlebih dahulu sama ada ia berbentuk fitnah atau pembohongan. Contohnya menjelang tahun baharu 2017 baru-baru ini. Tidak pasti sama ada sekadar gurauan yang mengajak orang berfikir tetapi orang yang menerimanya tidak berfikir.  Contohnya mengenai ‘Tahun 2017, adalah tahun yang unik’. Disenaraikan 1-1-2017 jatuh pada hari Isnin dan hari kedua bulan Februari, hari ketiga bulan Mac dan seterusnya juga jatuh pada hari Isnin. Tanpa usul periksa, maklumat itu disebar melalui WhatsApp secara meluas. Hakikatnya, maklumat itu salah khusus untuk Malaysia. Tidak pasti pula kalau di negara lain, tarikh dan hari pada bulan-bulan berkenaan bertepatan. Tetapi jika di Malaysia, tidak benar dan tanpa melihatnya sebagai satu gurauan, ternyata ramai yang tertipu.

Banyak lagi perkara yang tidak betul tetapi disebar tanpa ragu-ragu. Ada yang berulang-ulang, berita lama dikitar semula seolaholah berlaku semalam. Mungkin inilah akibatnya tidak membaca dan meneliti terlebih dahulu disebabkan ghairah untuk sebarkan apa sahaja maklumat yang diterima walaupun dalam bentuk ‘sampah yang dibungkus indah’. Semoga tahun ini, masyarakat kita lebih berhati-hati ketika ‘bercakap’ melalui WhatsApp. Anak-anak perlu dididik untuk meminati semula bahan bacaan. Memang kita tidak boleh kembali ke zaman tanpa ledakan teknologi maklumat masa dulu. Jika dahulu, ada sahaja bahan bacaan di tangan kanak-kanak termasuk komik. Menyelak kembali suatu masa dulu, ketika masih di bangku sekolah, bahan bacaan seperti Bambino, Bujal, Dewan Pelajar, Utusan Pelajar, novel kanak-kanak Enid Blyton dan pelbagai lagi yang menjadi satu
kemestian untuk membelinya. Kini keadaan sudah berubah. Jika ada pun terbitan seumpama itu,
sambutannya tidak seperti dahulu.

Bagaimana mahu kembali seperti dahulu? Dalam suasana yang ada pada hari ini, siapakah yang harus memainkan peranan? Bagaimana minat membaca yang ada sekarang? Membaca al-Quran pun mungkin setahun sekali, itu pun belum tentu habis kerana terlalu ‘terikat’ dengan membaca pada bulan Ramadan. Cuba selak kembali, berapa buah buku atau halaman buku dibaca sehari, sebulan atau setahun? Berapa majalah yang dibaca? Mungkin pihak sekolah boleh memainkan peranan untuk menghidupkan semula budaya membaca dalam kalangan kanak-kanak walaupun cabaran yang dihadapi amat besar. Anak-anak mungkin terlalu diterapkan membaca untuk menjawab soalan peperiksaan. Janganlah melahirkan golongan yang malas membaca. Amat membimbangkan jika suatu ketika nanti, bukan sahaja mereka malas membaca bahan bercetak tetapi juga media lain dalammencari kebenaran. Akhirnya kita akan menjadi lemah kerana tidak membaca dan mengkaji sesuatu kebenaran. Diharapkan, Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) dan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR), yang disemak semula dan akan dilak-sanakan tahun ini turut membantu. Kurikulum itu bertujuan mengimbangi set ilmu pengetahuan dan kemahiran seperti pemikiran kreatif, inovasi, penyelesaian masalah dan kepemimpinan dalam kalangan pelajar.

Berkaitan sekolah, sempena penggal persekolahan ini, diharapkan tidak timbul isu-isu berkaitan pendidikan yang boleh menjejaskan pembelajaran anak-anak. Saban tahun ada sahaja isu berkaitan sekolah dan pendidikan dibangkitkan seperti kelas sesak, beg berat, buku teks dan sebagainya. Cukuplah ibu bapa dibebankan dengan perbelanjaan persekolahan. Sekarang tidak timbul lagi soal yuran kecuali atas persetujuan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG). Diharapkan, isu kepadatan pelajar di sekolah-sekolah tertentu dapat diatasi kerana isu ini telah disentuh oleh menteri berkenaan sejak Mei lalu. Ada sekolah yang mempunyai antara 2,500 sehingga 3,000 pelajar akibat proses perpindahan penduduk yang sangat pesat.

Difahamkan jumlah paling ideal untuk sesebuah sekolah menengah adalah antara 1,200 hingga 1,300 orang meliputi tingkatan satu hingga lima. Jika tidak, keadaan akan menjadi tidak kondusif untuk proses pembelajaran. Kelmarin, seorang bapa ketika menghadiri taklimat di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Seri Putra, dekat Bangi, memaklumkan kepada saya, pelajar tingkatan satu sahaja mencecah sehingga 800 orang. Jika sebuah kelas menempatkan 40 orang, berapa buah kelas diperlukan? Bagaimana dengan tenaga pengajar? Isu ini boleh diatasi dengan perancangan yang lebih tepat mengenai kepadatan penduduk.

Sekali lagi, kita mendoakan agar tahun 2017 lebih baik untuk kehidupan rakyat Malaysia!

UMA020117008C_2#

Related posts

Leave a Comment