Menanti panggilan haji juga satu pengorbanan

KITA mendoakan yang terbaik untuk jemaah haji dari seluruh dunia supaya mereka dapat melakukan ibadah haji dengan sempurna. Selepas wukuf di Padang Arafah, perjalanan diteruskan ke Muzdalifah untuk mabit seketika sebelum ke Mina bagi melontar tiga jamrah bermula hari ini. Setakat ini dianggarkan 1.5 juta umat Islam berada di kota suci itu untuk menunaikan haji. Angka rasmi mungkin lebih besar. Menurut laporan, khemah yang disediakan di Mina mampu menampung sehingga 2.5 juta jemaah. Bagi yang tidak berpeluang menunaikan ibadah haji, mereka juga meraikannya sejak semalam dengan berpuasa sunat, bertakbir dan hari ini menunaikan solat sunat Aidiladha diikuti melakukan sembelihan korban sebagai tanda menyambut Hari Raya Aidiladha atau Hari Raya Korban. Syukur Alhamdulillah, lebih 22,000 jemaah Malaysia selamat melakukan wukuf. Diharapkan dengan taklimat serta pemantauan yang dilakukan oleh pihak Tabung Haji, jemaah kita dapat melakukan ibadah dengan selesa bagi melengkapkan semua rukun dan wajib haji.

Paling mencabar sudah tentulah ketika melontar tiga jamrah. Menyelak kembali peristiwa tahun lalu, ratusan orang maut dalam insiden rempuhan di Mina. Kejadian berlaku ketika kebanyakan jemaah dari Iran dalam perjalanan untuk melontar­ jamrah. Kerajaan Arab Saudi juga telah mengambil langkah meningkatkan kawalan keselamatan bagi mengelak insiden bersesak-sesak tahun lalu berulang di Mina. Kali ini, beribu-ribu jemaah Iran tidak melakukan ibadah itu berikutan perselisihan dengan Arab Saudi. Setiap tahun, ramai yang menaruh harapan untuk menunaikan ibadah haji. Bagaimanapun ada ketikanya berlaku pengurang­an kuota disebabkan kerja-kerja ubah suai dan menaik taraf kemudahan infrastruktur sekitar Masjidilharam. Jumlah yang menunggu terus meningkat dari setahun ke setahun.

Diharapkan, jemaah yang berpeluang ke sana akan meningkat selepas projek pembesaran siap sepenuhnya. Begitu jugalah harapan­ rakyat Malaysia agar kuota dapat ditingkatkan. Setiap tahun ramai yang tertunggu-tunggu surat panggilan daripada Tabung Haji. Ada juga yang mengemukakan rayuan dan mendapat jemputan pada saat-saat akhir. Biar bila pun masanya ‘dipanggil’, asal ada ‘jemputan’ jarang bakal jemaah mahu menolaknya, kecuali mereka yang sudah pernah melakukannya beberapa kali. Bagi mereka yang terpilih, bersyukur­lah. Kepada yang tidak kesampai­an hajat mereka, bersabarlah. Ini juga satu pengorbanan dan menguji­ kesabaran. Hindarkan sebarang sikap kecewa, berputus asa, marah atau cemburu melihat rakan atau sesiapa sahaja yang menerima ‘jemputan’. Perasaan itu mungkin wujud ketika melihat rakan, jiran atau sesiapa sahaja terpilih. Orang tua terkilan melihat orang muda terpilih. Ada juga si suami mendapat jemputan bagi menemani ibu tetapi si isteri pula tidak berpeluang.

Memang sulit untuk memenu­hi kehendak semua orang. Tidak banyak yang boleh dilakukan kerana kuota berada di tangan kerajaan Arab Saudi. Kerajaan Malaysia tentunya berusaha untuk mendapatkan tambahan kuota. Bersabarlah. Mungkin belum tiba masanya untuk bergelar jemaah haji, bak kata orang, belum sampai seru. Kursus haji dah berulang kali tetapi nama ‘belum naik’. Bagi rakyat Malaysia, kos bukan lagi masalah besar. Dulu kos menjadi halangan sehingga ada yang ‘bergolok bergadai’ me­ngumpul wang. Modal utama hari ini ialah ‘jemputan rasmi dari Tabung Haji’. Itu sahaja.

Soalnya bagaimana peluang untuk mendapat jemputan rasmi itu? Selak pernah menyelak isu berkaitan peluang penyimpan di Tabung Haji menunaikan haji ini. Ketika itu seorang sahabat yang sudah menghampiri usia emas memberitahu, sebaik sahaja membuka akaun di Tabung Haji semasa remaja, beliau bertekad untuk menunaikan haji ketika masih sihat. Ketika itu tidak terlintas soal dividen atau bonus hasil simpanannya. Setiap bulan, beliau tidak pernah lupa menambah simpanan termasuk melalui potongan gaji. Malangnya beliau ambil mudah soal pendaftaran. Beliau melakukan kesilapan besar kerana tidak mendaftar. Akhirnya setelah terlanjur, baharulah beliau sedar. Giliran yang menantinya ialah pada tahun 2045, ketika usianya mencecah 84 tahun.

Baru-baru ini, ketika berada di sebuah pejabat Tabung Haji, Selak melihat reaksi seorang wanita di sebelah remaja perempuan mendaftar diri. Wanita itu tersenyum apabila diberitahu, giliran remaja berkenaan ialah pada tahun 2061. Petugas kaunter itu pula mengingatkan, ini bukan 2016 tetapi 2061! Maknanya 55 tahun lagi. Ketika itu usianya menjangkau 69 tahun. Semoga remaja itu tetap sihat bagi memenuhi impiannya. Diharapkan beliau masih kuat untuk tawaf mengelilingi Baitullah, berulang alik antara Safa dan Marwah ketika sai, berhimpun di Arafah, bermalam di Mina dan gagah mengatur langkah untuk melontar jamrah. Berhubung perkara ini, Selak tertarik dengan kiriman SMS yang disiarkan di Utusan Malaysia baru-baru ini. SMS itu (lihat keratan) me­nyatakan simpati kepada mereka yang masih menunggu giliran panggilan haji. Tidak pasti sama ada kaedah sekarang dapat memberi perhatian terhadap penyimpan yang sudah lama mempunyai akaun di Tabung Haji.

Baru-baru ini seorang sahabat berusia 40an yang mendapat jemputan menunaikan haji memberitahu, beliau mendaftar sejak di bangku sekolah. Itu bagi yang ‘sedar’ mengenai pendaftaran. Seperti­ mendaftar sebagai pengundi,­ ada yang tidak peduli tanggungjawab untuk mendaftar dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Apakah harapan yang dapat diberikan kepada mereka yang sudah lama menyimpan sedikit demi sedikit tetapi lewat mendaftar? Mampukah golongan ini bersaing dengan penyimpan baharu yang semakin meningkat? Pernah sebelum ini, ada cadangan mahu mengurangkan jumlah kakitangan­ Tabung Haji ke Mekah bagi menambah bilangan kuota. Rakyat­ Malaysia yang bermastautin di Mekah akan dilantik menguruskan jemaah kita. Khabarnya jika itu dapat dilakukan dapat menambah 600 jemaah lagi. Tidak pasti sama ada langkah ini sebagai salah satu jalan keluar terbaik. Apa yang penting, biar apa juga langkah, jangan sampai perkhidmatan kepada jemaah terjejas.

Mungkin Tabung Haji boleh memberi pertimbangan istimewa kepada pendeposit setia, yang menyimpan sedikit demi sedikit sejak muda sehingga wangnya mencukupi ketika menjangkau usia emas. Berilah keutamaan kepada golongan seperti ini yang masih mempunyai tahap kesihatan yang boleh dianggap baik. Sesiapa pun warga emas yang masih sihat amat mengharapkan untuk ke tanah suci. Hadis daripada Ibn ‘Abbas RA mungkin sesuai untuk direnungi. Rasulullah SAW ber­sabda: “Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara; masa muda sebelum datang masa tua, masa sihat sebelum sakit, masa kaya sebelum datangnya masa sempit (miskin), masa lapang­ sebelum tiba masa sibuk, masa hidup sebelum tiba masa mati,’’ (Riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi)

Semoga lebih ramai lagi yang berpeluang menjadi tetamu Allah untuk menunaikan haji. Selamat Hari Raya Aidiladha.

UMA120916010C#

Related posts

Leave a Comment