Melakukan peremajaan secara berhemah

APAKAH langkah susulan selepas 2,752 perwakilan Perhimpunan Agung UMNO 2014 meninggalkan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) kelmarin? Kehadiran mereka serta ribuan pemerhati dari Perlis hingga ke Sabah sekurang-kurangnya tiga hari dua malam di Kuala Lumpur tidak seharusnya berakhir begitu sahaja. Semangat Dewan Merdeka tidak seharusnya luntur sebaik sahaja mereka melintasi Plaza Tol Sungai Besi, Plaza Tol Jalan Duta, Plaza Tol Gombak atau sebaik sahaja pesawat meninggalkan KLIA atau klia2. Adakah kehadiran mereka sekadar memenuhi keperluan selepas dipilih di peringkat bahagian atau hanya mengambil kesempatan untuk
‘berehat’ pada musim cuti sekolah? Pastinya, mereka hadir untuk mendengar amanat pemimpin dan penjelasan pelbagai isu dan bertukar pandangan mengenai strategi seterusnya dalam memantapkan UMNO. Beberapa isu yang sebelum ini berlegar menjadi persoalan perwakilan, pemerhati malahan anggota UMNO serta rakyat seluruhnya sudah terjawab. Contohnya isu Akta Hasutan 1948, cukai barang dan perkhidmatan (GST), tanah
rizab Melayu dan peremajaan. Presiden UMNO, Najib Tun Razak serta beberapa anggota Majlis Tertinggi (MT) telah menjelaskan pelbagai isu yang menjadi persoalan.

Sebagai pihak yang memimpin kerajaan Barisan Nasional (BN), pemimpin-pemimpin UMNO mempunyai
tanggungjawab untuk mengambil langkah susulan terhadap isu-isu berbangkit sama ada dalam bidang ekonomi, pendidikan, agama dan sosial. Mereka juga harus memberi penjelasan kepada masyarakat khususnya berkaitan Akta Hasutan 1948 dan GST, dua isu yang akan terus menjadi topik hangat parti pembangkang khususnya pakatan 3P iaitu DAP, PKR dan Pas. Isu ini mungkin berlarutan sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang
sekiranya rakyat masih mendapat maklumat salah. Kerajaan BN hanya mempunyai tempoh tiga tahun, bukan masa yang lama untuk menjelaskan isu-isu berbangkit sebelum PRU ke-14. Setiap peringkat pimpinan sama
ada di cawangan, bahagian dan negeri perlu bergerak mulai sekarang untuk menangani isuisu yang dibangkitkan. Peringatan yang dibuat oleh Timbalan Presiden, Muhyiddin Yassin mengenai kedudukan BN pada PRU harus diberi perhatian. Hanya dengan dua peratus penurunan undi kepada BN pada PRU akan datang, BN akan kalah. Dalam menghadapi isu-isu berbangkit sekarang, apakah kekuatan BN mampu menghadapinya? Selesaikah isu-isu
yang berbangkit sekarang? Apa pula yang akan berlaku dalam tempoh dua tiga tahun lagi menjelang PRU? Adakah isu seperti Akta Hasutan 1948 dan GST akan selesai menjelang PRU akan datang? Percayalah dalam tempoh tiga tahun ini akan ada isu baru yang boleh mencemaskan BN sama ada ‘dicipta’ oleh BN atau mainan pakatan 3P. Semuanya ini memerlukan BN lebih bersiap sedia.

UMNO, MCA, MIC, Gerakan dan PPP sebagai komponen BN perlu menyusun langkah mulai sekarang, bukan hanya menunggu detik PRU. Kadangkala orang menilai kerja kita untuk tempoh beberapa tahun dan ada ketikanya, kerja kita pada saat akhir juga akan mempengaruhi. Ramai calon terutama di pihak pakatan 3P yang mampu menang pada PRU walaupun mereka adalah `orang baru’ atau ‘orang muda’ di kawasan berkenaan. Apakah rahsia mereka? Adakah parti sebagai penentu atau calon menjadi faktor kemenangan? Berubahlah cara bertindak dalam mempersiapkan parti untuk menghadapi PRU. Bukan bermaksud mereka perlu menghabiskan masa sepanjang masa untuk menghadapi PRU sebaliknya menyusun strategi mulai sekarang supaya langkah tidak ‘sumbang’ apabila tiba masanya. Mungkin tidak keterlaluan jika dikatakan setiap langkah yang dilakukan harus mengikut proses peremajaan seperti yang turut dibangkitkan pada Perhimpunan Agung UMNO yang lepas. Mengikut kamus Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), peremajaan adalah perihal meremajakan.

Maksud meremajakan menjadikan muda atau memudakan. Kamus DBP mengambil contoh ayat ‘meremajakan
pegawai negeri’ yang membawa makna menggantikan pegawai-pegawai tua dengan pegawai-pegawai muda. Maksud menggantikan yang tua dengan muda inilah yang menimbulkan sedikit ‘kekecohan’ kerana ada dalam
kalangan orang lama UMNO seolaholah ‘merajuk’. Kata seorang perwakilan, jika diusulkan mereka
yang berusia 50 tahun ke atas meninggalkan Dewan Merdeka, berapa ramai yang tinggal? Bukan bermakna yang tua harus berundur dan yang muda mengambil alih. Tidak semua yang tua itu tidak berfungsi dan tidak semua yang muda itu mampu melakukan yang terbaik. Dalam PRU, ramai juga orang muda tewas. Ada calon muda UMNO yang berlatar belakangkan agama dan berpendidikan tinggi kecundang. Usia bukan faktor penentu tetapi keupayaan calon menyesuaikan diri dengan keadaan semasa.

Seperti kata Ketua PergerakanPemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, peremajaan parti bukan sekadar menggantikan orang lama dengan orang muda, sebaliknya diterjemahkan dalam konteks menyeluruh termasuk semasa berkempen, calon lama membawa diri macam orang muda dengan menggunakan media sosial, Facebook,
Twitter dan polisi yang mesra orang muda, cergas dan dinamik. Gandingan lama dan baharu diperlukan
bagi memperkukuh dan mengarusperdanakan parti supaya dapat meraih kembali sokongan rakyat.
Kata Khairy: “Peremajaan tak bermakna laluan percuma orang muda dilantik itu dan ini… kalau tak layak
memang tak layak. Kalau kita layak kita patut menerimanya. Buat kerja dengan baik, tolong bahagian kuatkan
parti dan kalau ada rezeki Alhamdulillah. Itu yang kami faham tentang peremajaan, bukan rampasan
kuasa. Itulah yang kita faham cara orang Melayu yang penuh dengan kesabaran dan hormat kepada orang lama,” Lakukanlah peremajaan secara berhemah, ibarat menarik rambut di dalam tepung.

Sedikit selingan mengenai peremajaan. Ketika saya serta beberapa rakan makan tengah hari di medan selera berhampiran PWTC, seorang lelaki cacat penglihatan berlegar memohon derma dalam kalangan anggota UMNO yang sedang menjamu selera. Ketika berjalan dari satu meja ke satu meja, terdengar lelaki itu berkata kepada wanita yang mengiringinya: “Ramai yang datang perhimpunan UMNO ni, tapi veteran, orang muda kurang’’. Saya
tergamam. Adakah kenyataan lelaki itu satu andaian atau realiti?

Berbalik kepada maksud peremajaan, cara bekerja lebih 3.47 juta anggota parti juga perlu berubah termasuk apa yang dikatakan oleh Najib berkaitan pendaftaran keanggotaan secara online. Tindak balas yang dilakukan di peringkat cawangan, bahagian dan negeri tidak boleh lagi mengikut gaya ketika UMNO kukuh, sebelum PRU 2008. Jika sudah menjadi pembangkang, bertindaklah secara pembangkang, tidak seharusnya selesa dengan gaya kerajaan yang memerintah. Begitu juga dengan jentera kerajaan yang perlu diremajakan cara bekerja supaya segala permasalahan yang dihadapi dalam urusan di pejabat kerajaan dan agensinya dapat diselesaikan
segera bukannya membiarkan rakyat atau ‘pelanggan’ ternanti-nanti. Rakyat atau pelanggan yang marah terhadap kerajaan akan melepaskan geram dan dendam di kertas undi, lebih-lebih lagi jika yang menjadi mangsa adalah anak-anak remaja. Ingatlah bila sekali terluka, sukar untuk mengubatinya. Mungkin, modul latihan dikenali
KERIS 2314 yang diumumkan oleh Naib Presiden, Ahmad Zahid Hamidi dapat diterapkan dengan nila-nilai peremajaan dalam tindak kerja sama ada melibatkan parti atau kerajaan untuk mendapatkan
majoriti dua pertiga.

KERIS yang membawa maksud ‘Karisma.Ehsan.Rasional.Iltizam.Setia’ menyasarkan untuk menebus kembali jumlah kerusi sebanyak dua pertiga. Adakah KERIS 2314 mampu mengembalikan kecemerlangan
BN pada PRU14?

UMA011214010C#

Related posts

Leave a Comment